Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat sekarang yang dikenali sebagai gerik itu masih diliputi oleh hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870 beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai lalu membuka hutan di Kuala Sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tuan bernama Tok Ad(Tok Saad).
Tiada beberapa lama selepas itu, Raja Reman yang bernama Tuan Jagong, datang berburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Mereka mendengar cerita bahawa tiada jauh dari situ ada kampung orang terletak di tengah-tengah hutan.
Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda mendengar suatu bunyi yang pelik terbit daripada perdu serumpun gajah. Baginda memerintahkan supaya dipagar keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orang-orangnya menggali disitu untuk mengetahui apakah benda yang mengeluarkan bunyi yang ganjil itu.
Setelah habis digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan (sejenis binatang rupanya seakan-akan tikus) sedang mengerit (memakan) umbi buluh. Oleh sebab umbi buluh itu sangat keras, maka terbitlah bunyi yang berkerit-kerit apabila digerit oleh dekan-dekan itu.
Raja Reman itu telah menamakan tempat itu Kampung Gerit. Sebutan Gerit itu telah di pakai beberapa lama tetapi orang-orangnya yang kemudian telah mengubah sebutan dan ejaan daripad Gerit kepada Grik, kemudiannya menjadi Gerik seperti yang digunakan sekarang.









