Sg. Kuala Rui lubuk ikan loma
Oleh WARDAHTUL AIN NAWAWI
utusanperak@yahoo.com.my

GERIK 28 Okt. - Setiap kali tibanya penghujung tahun, aktiviti menangkap ikan loma di sepanjang Sungai Kuala Rui bagaikan satu pesta bagi masyarakat di sini.
Penggemar ikan itu bukan sahaja terdiri daripada penduduk kawasan berdekatan, malah ada yang datang dari jauh.
Kebanyakan mereka berkunjung ke sini dengan pelbagai tujuan; ada yang mahu menangkap ikan loma untuk dijadikan juadah buat keluarga, sebagai sumber pen dapatan tambahan selain untuk menyaksikan sendiri kemeriahan aktiviti menangkap ikan itu yang dianggap satu fenomena bermusim menjelang hujung tahun.
Aktiviti menangkap ikan loma selalunya bermula dari September hingga Disember. Bagi penduduk setempat, tempoh waktu itu adalah saat yang paling dinantikan.
Malah, ia juga digelar 'musim ikan loma membuang telur' oleh penduduk tem patan kerana Sungai Kuala Rui adalah destinasi ikan-ikan itu bertelur sebelum kembali ke tempat asalnya di Tasik Chenderoh.
Kisah hidup ikan loma hakikatnya tidak jauh bezanya dengan kisah hidup ikan salmon. Jika kitaran hidup atau masa ikan salmon banyak dihabiskan di laut sebelum akhirnya kembali ke habitat asal di sungai untuk bertelur, begitulah juga ikan loma.
Para pengunjung ke Sungai Kuala Rui ini pasti akan terpegun kerana sepanjang sungai itu bukan sahaja dijadikan lokasi atau tempat ikan-ikan loma bertelur, malah pengunjung akan lebih terpegun lagi apabila ikan itu tiba-tiba muncul dengan banyaknya di sepanjang tebing sungai.
Lebih mengasyikkan, sesekali akan kelihatan ikan itu melompat-lompat di atas permukaan air sungai yang mengalir di situ.
Walaupun di tempat lain ikan loma agak mudah didapati tetapi Sungai Kuala Rui dianggap lubuk bagi ikan tersebut.
Aliran deras akibat hujan akan membawa ikan-ikan loma dari Tasik Chenderoh sebelum ke Empangan Kenering seterusnya ke Sungai Kuala Rui.
Maka, tidak hairanlah sungai itu menjadi pilihan bagi penangkap ikan tersebut.
Bagi kaki pancing, peluang yang dinanti-nantikan tentunya sukar dilepaskan begitu sahaja. Apa yang pasti, kedatangan mereka tidak akan menghampakan kerana tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Pelbagai peralatan dapat disaksikan oleh pengunjung. Selain menggunakan joran dan jala, mereka juga memasang bubu malah ada juga mengikut cita rasa masing-masing kerana yang penting adalah kepuasan membawa pulang hasil yang lumayan.
Apa yang lebih menarik, untuk lebih memudahkan kerja penangkapan ikan tersebut, ada penduduk tempatan yang mencipta sebuah pelantar condong di dalam air sungai yang dinamakan 'ley' bagi me mudahkan aktiviti menangkap ikan loma.
Pelantar diperbuat daripada batang buluh, disusun mengikut aliran sungai dan apabila air mengalir deras, ikan-ikan itu akan mengikut saliran susunan buluh lalu terperangkap di atasnya.
Biarpun bertulang banyak dan memerlukan tumpuan untuk memakannya namun, rasa isinya yang lemak manis memastikan ia tetap mendapat tempat di hati para penggemarnya.
'Kegilaan' menangkap ikan loma seakan ikan kembung ini juga disebabkan telurnya yang enak.
Apabila dimasak, telurnya yang berwar na kehijauan akan bertukar menjadi ku ning pucat. Keenakannya itu tidak meng halang minat orang ramai untuk mendapatkan ikan loma.
Di sebalik keistimewaan rasa ikan itu, ia turut dijadikan ikan pekasam.
Seorang pengunjung tempatan, Rafeah Abd. Manaf, 41, memberitahu, setiap tahun dia pasti akan ke Sungai Kuala Rui untuk menangkap ikan loma bagi menambah pendapatan keluarganya.
Ikan-ikan yang berjaya ditangkap kata nya, akan dijual di pasar dan selebihnya dijadikan pekasam untuk dijual kepada penduduk di sekitar Gerik.
''Setiap kali tibanya musim ikan loma, hampir setiap hari saya dan rakan-rakan akan ke sini untuk menangkap ikan terutama pada waktu petang.
''Aktiviti menangkap ikan loma ini ba gaikan satu tradisi bagi saya dan rakan-rakan kerana sejak zaman muda lagi saya sudah melakukannya,'' katanya.
Seorang pengunjung dari negara jiran, Mamat Dira, 38, berkata, dia akan datang ke sini ketika tibanya musim ikan loma.
''Ikan-ikan yang ditangkap ini akan di jadikan pekasam untuk dijual di Thailand kerana masyarakat di sana juga amat me nyukai ikan pekasam dan mendapat per mintaan yang tinggi.
''Musim ikan loma memang amat di nanti-nantikan oleh saya dan isteri,'' katanya.
Seorang pengunjung dari Baling, Melur Safari, 32, pula berkata, menangkap ikan loma merupakan aktiviti riadah buat dirinya dan keluarga.
''Tempat ini amat berpotensi dijadikan sebagai kawasan pelancongan bermusim, malah amat sesuai dimajukan lagi untuk diperkenalkan kepada masyarakat luar.
''Saya sendiri tidak akan lepaskan peluang untuk datang ke sini memancing ikan kerana ia mendatangkan kepuasan pada saya,'' katanya.